Nyahpenjajahan dan kemerosotan empayar (1945–1997) Empayar British

Walaupun Britain dan empayarnya menang dalam Perang Dunia II, kesan daripada konflik sangat mendalam sama ada di dalam atau di luar Britain. Hampir keseluruhan Eropah, benua yang mendominasi dunia selama berabad-abad lamanya musnah, dan buminya didatangani tentera dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet negara di mana imbangan kuasa dunia berpindah. [73] Britain sendiri menjadi muflis dengan hanya dapat diselamatkan pada tahun 1946 selepas mendapat pinjaman $3.5 bilion dari Amerika Syarikat,[74] dengan hutang terakhir dibayar semula pada tahun 2006.[75]

Pada masa yang sama, gerakan antipenjajah bangkit di negara-negara yang dijajah negara Eropah. Situasi dirumitkan lagi oleh Perang Dingin di antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, yang kedua-duanya menentang penjajahan kuasa Eropah, walaupun kemudiannya sentimen antikomunis lebih diutamakan yang menyebabkan AS menyokong penerusan kewujudan Empayar British.[76]

Angin perubahan yang melanda bermakna Empayar British menghampiri penghujungnya, dan Britain mula menggunakan dasar pengunduran secara aman dari jajahannya dan bersedia menyerahkan kuasa apabila mereka sudah stabil serta tidak condong kepada dasar komunis. Ini berlainan dengan kuasa Eropah lain seperti Perancis dan Portugal[77] yang terlibat dengan perang yang mahal dan akhirnya gagal untuk mempertahankan empayar mereka. Di antara tahun 1945 dan 1965, jumlah mereka yang tinggal di luar UK di bawah pemerintahan British jatuh daripada 700 juta kepada 5 juta, di mana 3 juta daripada mereka di Hong Kong. [76]

Pengunduran awal

Muhammad Ali Jinnah dan Mahatma Gandhi, dua orang pemimpin gerakan kemerdekaan India.

Kerajaan Parti Buruh yang pro-nyahpenjajahan menang pilihan raya umum United Kingdom pada tahun 1945. Pemimpinnya Clement Attlee bertindak pantas untuk menyelesaikan isu penting negara iaitu kemerdekaan India.[78] Dua buah gerakan kemerdekaan India, Kongres Kebangsaan India dan Liga Muslim telah berkempen untuk kemerdekaan berdekad lamanya, tetapi tidak bersetuju bagaimana ia harus dilaksanakan. Kongres mahukan India yang bersatu tetapi Liga pula mahukan negara berasingan untuk orang Islam. Peningkatan kekecohan awam dan pemberontakan Tentera Laut Mahkota India pada tahun 1946 mendorong Attlee berjanji kemerdekaan selewat-lewatnya pada tahun 1948, tetapi kebimbangan perang saudara menyebabkan wizurai British di India yang dilantik (dan terkahir), Lord Mountbatten, membawa pembahagian India dan kemerdekaannya lebih awal pada 15 Ogos 1947.[79] Sempadan yang dibuat oleh British membahagikan India kepada kawasan untuk orang Hindu dan Islam tidak menghiraukan nasib berpuluh-puluh juta minoriti di India dan Pakistan.[80] Berjuta-juta orang Islam kemudiannya menyeberang dari India ke Pakistan dan orang Hindu pula ke arah yang bertentangan. Keganasan di antara dua masyarakat ini menyebabkan beratus-ratus ribu orang kehilangan nyawa. Burma yang ditadbir sebagai sebahagian daripada Kemaharajaan British, dan Sri Lanka mencapai kemerdekaan pada tahun berikutnya, 1948. India, Pakistan dan Sri Lanka menjadi ahli negara-negara Komanwel tetapi Burma mengambil keputusan tidak mahu menyertai.[81]

Mandat British di Palestin di mana majoriti Arab tinggal bersama-sama dengan orang Yahudi yang minoriti memberi masalah yang sama dengan India. [82] Perkara ini dirumitkan lagi dengan jumlah besar pelarian Yahudi yang mahukan tempat tinggal di Palestin akibat penindasan Nazi dan pembunuhan beramai-ramai dalam Perang Dunia Kedua. Tanpa menyelesaikan isu tersebut, Britain mengumumkan pada tahun 1947 bahawa ia akan berundur pada tahun 1948 dan menyerahkan perkara tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyelesaikannya,[83] yang dilakukan oleh PBB dengan mengundi pembahagian Palestin kepada negara Yahudi dan Arab.

Berikutan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, pergerakan anti Jepun di Tanah Melayu mengalihkan perhatian kepada British yang mahu mengambil kembali jajahannya memandangkan nilai sumber getah dan timah. Gerakan gerila yang kebanyakannya didokong oleh cina komunis, dan British mencuba mendapatkan sokongan orang Melayu dengan harapan sebaik tamat darurat, kemerdekaan akan diberikan. [84] Darurat Tanah Melayu bermula pada tahun 1948 dan berakhir pada tahun 1960, tetapi pada tahun 1957, Britain sudah yakin untuk memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1963, Persekutuan ini disertai oleh Singapura, Sarawak and Borneo Utara British untuk membentuk Malaysia. Akan tetapi Singapura yang didominasikan bangsa Cina keluar daripada Persekutuan pada tahun 1965 berikutan ketegangan di antara Melayu dan Cina.[85] Brunei, yang menjadi negara naungan British sejak 1888 menolak menyertai Persekutuan[86] dan mengekalkan statusnya sehingga ia merdeka pada tahun 1984.

Suez dan kesannya

Pada tahun 1951, Parti Konservatif kembali berkuasa di Britain di bawah pimpinan Winston Churchill. Churchill dan ahli Konservatif percaya kedudukan Britain sebagai kuasa dunia bergantung kepada kewujudan berterusan empayar, dengan pangkalannya di Terusan Suez yang membolehkan British mengekalkan kedudukannya di Timur Tengah walaupun sudah kehilangan India. Tetapi Churchill tidak dapat mengetepikan kerajaan revolusiner baru Gamal Abdel Nasser di Mesir yang baru saja merampas kuasa pada tahun 1952. Pada tahun berikutnya, British bersetuju mengundurkan tenteranya daripada Terusan Suez dan Sudan akan merdeka pada tahun 1955.[87]

Pada tahun 1956, Nasser secara bersendirian memilik negarakan Terusan Suez. Perdana Menteri British yang baru, Anthony Eden, bertindak dengan membuat pakatan sulit bersama Perancis untuk mengatur serangan Israel ke atas Mesir yang seterusnya memberi alasan Britain dan Perancis untuk campur tangan dan merampas kembali terusan. [88] Tindakan Eden yang tidak meminta nasihat daripada rakannya Amerika Syarikat, menyebabkan Presiden Dwight D. Eisenhower berang dan beliau menolak menyokong pencerobohan tersebut. [89] Eisenhower juga risau kemungkinan perang dengan Soviet Union selepas Nikita Khrushchev mengancam untuk menyokong Mesir. Eisenhower mengancam untuk menjual rizab AS dalam Paun Sterling yang menyebabkan kejatuhan mata wang British. [90] Walaupun serangan ketenteraan tersebut berjaya merampas kembali Terusan Suez, [91] campurtangan PBB dan tekanan Amerika Syarikat memaksa Britain mengundurkan tenteranya dan Eden meletakkan jawatan. [92]

Krisis Suez ini mendedahkan kelemahan Britain kepada dunia dan mengesahkan kemerosotan kuasanya di pentas dunia, juga menunjukkan ia tidak boleh bertindak tanpa sokongan Amerika Syarikat.[93][94][95]

Walaupun krisis ini menyebabkan kuasa British di Timur Tengah menjadi lemah, empayarnya tidak tumbang.[96] Britain mengatur lagi tenteranya di Timur Tengah, dengan campur tangan di Oman (1957), Jordan (1958) dan Kuwait (1961), dengan kelulusan Amerika Syarikat, ,[97] di mana dasar luar British dijajarkan dengan dasar luar Amerika Syarikat. Britain mengekalkan kehadirannya di Timur Tengah untuk dekad seterusnya, berundur dari Aden pada tahun 1967 dan Bahrain pada tahun 1971.

Angin perubahan

Nyahpenjajahan British di Africa. Pada akhir tahun 1960an, kesemua negara kecuali Rhodesia (sebelum menjadi Zimbabwe) dan mandat Afrika Selatan di Afrika Barat Daya (Namibia) mencapai kemerdekaan.

Perdana Menteri British yang baru Harold Macmillan memberikan ucapan di Cape Town, Afrika Selatan pada bulan Februari 1960 di mana dia bercakap mengenai “angin perubahan yang bertiup di benua ini.” [98] Macmillan mahu mengelak perang penjajahan yang sama dihadapi oleh Perancis di Algeria dan di bawah pemerintahannya proses nyahpenjajahan berlaku dengan pantas. [99] Banyak tanah jajahannya diberikan kemerdekaan pada tahun 1950an dan 1960an termasuk Sudan, Gold Coast dan Tanah Melayu.

Saki baki jajahan British di Afrika juga diberikan kemerdekaan pada tahun 1968. Pengunduran British di bahagian selatan dan timur Afrika dirumitkan dengan penduduk kulit putih di sana terutamanya Rhodesia di mana ketegangan kaum berlaku dan menyebabkan Perdana Menterinya Ian Smith mengisytiharkan kemerdekaan sendiri daripada British pada tahun 1965.[100] Rhodesia terus berada dalam perang saudara di antara penduduk kulit hitam dan putih sehingga perjanjian pada tahun 1979 di mana Rhodesia diletakkan di bawah British sehingga pilihan raya diadakan di bawah selia British. Pilihan raya yang diadakan pada tahun berikutnya dimenangi oleh Robert Mugabe yang menjadi Perdana Menteri negara baru merdeka yang kini dipanggil Zimbabwe.[101]

Di Mediterranean, perang gerila oleh penduduk Cypriot Greek berakhir pada tahun 1960 di negara merdeka Cyprus, tetapi UK mengekalkan pangkalan tenteranya di Akrotiri dan Dhekelia. Malta dan Gozo pula diberikan kemerdekaan pada tahun 1964.

Kebanyakan jajahan UK di Hindia Barat mencapai kemerdekaan selepas Jamaica dan Trinidad memilih tidak mahu bersatu dengan Persekutuan Hindia Barat masing-masing pada tahun 1971 dan 1962. Barbados mencapai kemerdekaan pada tahun 1966 dan pulau lain di Caribean pada tahun 1970an dan 1980an. Tetapi Anguilla dan Kepulauan Turks dan Caicos mengambil keputusan untuk kekal bersama British. [102] Kepulauan Virgin British,[103] Kepulauan Cayman[104] dan Montserrat[105] juga memilih untuk mengekalkan hubungan dengan Britain. Guyana mencapai kemerdekaan pada tahun 1966. Jajahan terakhir British di Amerika, British Honduras, menjadi jajahan berpemerintahan sendiri pada tahun 1964 dan diberikan nama Belize pada tahun 1973, sebelum mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1981.

Tanah jajahan British di Pasifik memperoleh kemerdekaan antara tahun 1970 (Fiji) dan 1980 (Vanuatu). Tuvalu, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea memilih untuk kekal dalam Alam Komanwel.

Berakhirnya empayar

Pemberian kemerdekaan kepada Rhodesia dan Vanuatu pada tahun 1980, dan Honduras British pada tahun 1981 bermakna, selain daripada pulau-pulau kecil yang bertaburan, proses nyahpenjajahan yang bermula selepas Perang Dunia Kedua sudah selesai.

Pada tahun 1982, Britain berjaya mempertahankan Kepulauan Falkland daripada serangan Argentina. Pada tahun yang sama Kanada memutuskan untuk tidak lagi memerlukan penglibatan Britain dalam Perlembagaan mereka.[106]

Pada bulan September 1982, Margaret Thatcher melawat Beijing untuk berunding dengan kerajaan China mengenai masa depan Hong Kong yang pada masa itu merupakan tanah jajahan terakhir Britain yang utama dan paling ramai penduduk. [107] Di bawah terma Perjanjian Nanking 1842, Pulau Hong Kong diberikan selama-lamanya kepada British tetapi majoriti tanah jajahan tersebut berada di bawah Wilayah Baru yang dipajak selama 99 tahun daripada tahun 1898 dan akan berakhir pada tahun 1997. Cadangan Thatcher untuk mengekalkan Hong Kong di bawah pentadbiran British tetapi berada di bawah kedaulatan China ditolak kerajaan China.[108] Satu persetujuan dicapai pada tahun 1984, di bawah Deklarasi Bersama British-China bahawa Hong Kong akan menjadi Wilayah Pemerintahan Istimewa kerajaan China yang boleh mengekalkan cara hidup mereka sekurang-kurangnya 50 tahun. [109] Upacara Penyerahan Hong Kong pada tahun 1997 menandakan berakhirnya Empayar British kepada kebanyakan orang.